Tidak menyangka gurauan antaranya dengan selebriti media sosial, Kelly Azman, di ruangan komen baru-baru ini telah menimbulkan salah faham di kalangan kaum Iban.
Penyanyi dan usahawan terkenal, Ifa Raziah, 49, meluahkan rasa terkejut apabila gurauan bersama selebriti media sosial, Kelly Azman, di ruangan komen enam minggu lalu telah menimbulkan salah faham di kalangan kaum Iban.
Isu tersebut timbul selepas Ifa menyebut perkataan “Iban” dalam komen yang merujuk kepada penampilan Kelly menerusi satu video. Ia dianggap menyinggung kaum Iban, yang kemudian memenuhi ruangan komen dengan pelbagai reaksi. Bagi menjernihkan keadaan, Ifa tampil memohon maaf secara terbuka.
“Pertama sekali, saya sangat terkejut. Komen itu dibuat enam minggu lepas, tetapi tiba-tiba menjadi tular tiga hari lalu ketika saya berada di Singapura.
“Saya tulis komen ‘Ingatkan perempuan Iban mana yang tersesat’ kerana terkejut melihat video Kelly menyanyi. Saya dan Kelly sebenarnya kawan baik, dan komen itu hanyalah gurauan tanpa niat untuk menghina atau menyentuh isu perkauman,” jelasnya ketika ditemui di lobi sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Ifa turut menerangkan bahawa komen tersebut timbul kerana kagum dengan aksesori kepala Kelly dalam video itu, yang disifatkan sangat cantik.
“Saya tak pernah berniat untuk ‘body shaming’, ‘face shaming’, atau menghina mana-mana pihak. Pandangan pertama saya tertumpu pada hiasan kepala Kelly, dan saya hanya bergurau kerana kawan-kawan baik sering bergurau sebegitu. Demi Allah, ia hanyalah salah faham,” katanya.
Ifa menegaskan beliau tidak pernah menyentuh isu perkauman sepanjang kariernya dan sangat menghormati masyarakat Borneo.
“Orang Sarawak dan Sabah adalah antara yang paling cantik, dan saya mempunyai ramai rakan dari pelbagai etnik di sana. Saya tidak akan sekali-kali memainkan sentimen perkauman,” tambahnya.
Ifa juga memohon agar isu ini tidak dipanjangkan dan berharap penjelasannya dapat diterima oleh semua pihak.
“Saya baca komen di media sosial dan mungkin ada yang menghina saya, tetapi saya ingin memohon maaf dengan ikhlas kepada masyarakat Borneo, Sabah, Sarawak, dan kaum Iban. Saya susun sepuluh jari memohon maaf.
“Ini hanyalah gurauan biasa antara saya dan Kelly. Jika saya berniat jahat, saya boleh berdiam diri, tetapi saya memilih untuk tampil memberi penjelasan kerana saya tidak berniat menyakiti sesiapa,” katanya.
Terdahulu, komen Ifa itu dikongsikan seorang pengguna Threads yang memuat naik tangkapan layar ke media sosial, mendakwa Ifa tidak menghormati sensitiviti etnik kaum di Sarawak. Tindakan tersebut mendapat kecaman netizen, yang rata-rata meluahkan rasa kecewa terhadap kurangnya kepekaan Ifa.