
KANGAR: Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati 60 peratus wanita di Malaysia belum menjalani pemeriksaan pap smear untuk saringan kanser serviks. Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata statistik ini menunjukkan kesedaran yang masih rendah dalam kalangan wanita mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit tersebut.
“Kanser serviks merupakan ancaman nyata kepada kesihatan wanita, malah ia merupakan kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita pada peringkat global dan kanser keenam utama di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bulan Kesedaran Kanser Serviks peringkat negeri Perlis, di sini, pada Isnin.
Perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Wan Badariah Wan Saad. Turut hadir Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim. Abdul Shukur menjelaskan bahawa tahap kesedaran yang rendah ini disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk stigma takut dan malu untuk menjalani ujian walaupun kanser serviks lebih kerap berlaku di kalangan wanita berumur 40-an.
Beliau turut berkata bahawa usaha meningkatkan kesedaran terus dijalankan melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) yang dilaksanakan sejak 2022, termasuk menyediakan ujian Human Papillomavirus (HPV) DNA secara percuma kepada golongan sasaran.
Abdul Shukur memaklumkan bahawa antara 2019 hingga 2024, seramai 162,581 wanita di seluruh negara telah menjalani ujian HPV DNA. Daripada jumlah itu, sebanyak 10,582 kes positif dikesan manakala untuk tahun lepas sahaja, sebanyak 3,038 kes positif dilaporkan.
“Di Perlis, data menunjukkan sebanyak 1,888 wanita telah menjalani ujian HPV DNA dalam tempoh lima tahun dengan 79 kes positif direkodkan. Namun, jumlah itu hanya mewakili 3.3 peratus daripada anggaran 56,700 wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun di Perlis.
“Sejumlah 52,735 wanita di Perlis masih belum menjalani ujian ini. Pada 2024, 475 wanita telah menjalani ujian HPV DNA, mengatasi sasaran sebanyak 400 orang, namun 18 kes positif telah dikesan, angka itu menjadikan Perlis negeri ketiga tertinggi kes kanser serviks di Malaysia pada 2024,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa bagi tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta LPPKN menyasarkan agar 80,000 wanita di seluruh negara mendapat manfaat daripada program WCaRe. Daripada jumlah tersebut, 45,000 wanita dijangka menerima saringan kanser serviks, manakala 35,000 lagi akan memperoleh subsidi mamogram.